Selangkah ke menara gading


Hari ini sudah pasti ramai di kalangan anak muda lepasan SPM khususnya sedang bertungkus-lumus mengisi borang-borang aplikasi dan mempersiapkan diri mereka untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.


Namun persoalan yang cuba penulis timbulkan di sini untuk kita bersama bincangkan, adakah mereka sudah bersedia mengharungi dunia IPTA yang penuh dengan ranjau cabaran?


Dewasa ini, kita dapat lihat betapa ramai mahasiswa/siswi yang hanyut dan leka dibuai keseronokan berada di IPTA sehingga mengakibatkan mereka leka akan matlamat asal mereka datang ke Institusi Pengajian Tinggi. Tanpa memahami matlamat yang betul dalam menuntut ilmu, maka ia akan menjadi kapal yang berlayar tanpa arah tujuan. Tidak pasti di Pelabuhan mana ia akan berhenti. Sesat di lautan luas berpuluh tahun lamanya.


Sedangkan menuntut ilmu itu, Allah syariatkan besar tujuannya, ia asas membina masyarakat dan asas membina tamadun insan. Tapi tak ramai para mahasiswa/siswi hari ini memahami matlamat itu. Berligar pada memenuhi kecukupan duniawi dan aksesori kehidupan mereka sahaja. Namun, bagi orang yang benar-benar faham tujuan menuntut ilmu, dia ada AGENDA BESAR dalam hidupnya.


Justeru, dalam memahami matlamat sebenar menuntut ilmu ada beberapa aspek yang perlu bakal mahasiswa/siswi ambil perhatian iaitu perlunya persiapan ruhani yang mantap. Orang yang bijak tidak akan membiarkan diri bergelumang dengan pelbagai kelemahan dan kecacatan ruhi sedang dalam masa yang sama mengharapkan kejayaan dalam hidup mereka umpama angan-angan mat jenin yang amat menyedihkan. Ingatlah masa muda hanya sekali.


Alam universiti merupakan tempat yang paling sesuai untuk memperolehi semua sumber kekuatan (ruhiyyah dan jasmani). Tempoh ini sepatutnya dihabiskan dengan program-program yang bermanfaat dan mampu membawa ia mencapai objektif sebenar. Banyak program-program bermanfaat yang disediakan oleh universiti dan badan-badan dakwah yang bergerak di dalam dan luar universiti. NGO-NGO yang ada melalui program tarbiah, dakwah dan kemasyarakatan mereka boleh memberi pengisian kepada para belia. Cuma kena pastikan halatuju dan kefahaman yang mereka bawa dan sejauh mana ia mampu mempertingkatkan potensi anda para pelajar khususnya.

Sayangnya rata-rata pelajar hari ini ramai yang tidak berminat. Mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti berbentuk hiburan dan keseronokan. Kesannya bukan sekadar tidak meningkatkan potensi ruhi, skill, keterampilan diri dan sebagainya bahkan menjadi penyebab rendahnya prestasi mereka dalam bidang akademik.


Apabila golongan yang dianggap memiliki IQ berkualiti ini tidak mengisi masa mereka di Universiti dengan sebaiknya dan gagal membuat persiapan, negara akan turut menerima kesannya. Mereka merupakan barisan hadapan kekuatan modal insan tapi tanpa persiapan yang rapi pasti mereka gagal menjadi pemimpin negara yang mahir. Orang yang tiada apa-apa tidak mampu memberikan apa-apa. Akhirnya kegagalan dalam diri individu turut mengagalkan institusi keluarga, masyarakat dan negara.


Wahai para pelajar ingatlah bahawa kalian bukan hidup hanya untuk diri sendiri. Kalian adalah anak untuk ibubapa anda. Kalian bakal suami atau isteri untuk pasangan anda. Kalian bakal menjadi bapa atau ibu, guru dan murabbi untuk anak-anak. Kalian akan menjadi rakyat atau pemimpin untuk membangun negara. Kalian juga salah satu tenaga berharga yang dinanti-nantikan oleh ummah untuk memimpin mereka mengembalikan kegemilangan silam yang pernah diukir oleh generasi awal Islam.


Berfikirlah sebelum bertindak dan jangan habiskan masa muda dengan perkara sia-sia. Berfikirlah dengan mentaliti orang hebat. Hebatnya Bilal bin Rabah, Anas bin Malik dan beberapa sahabat lain yang pernah menjadi hamba abdi kerana ia berfikir menggunakan mentaliti orang hebat bukan mentaliti hamba. Mereka berfikir menggunakan mentaliti wahyu dan sunah nabi mereka. Pelik kalau anda seorang mahasiswa tapi berfikir seperti mentaliti orang tak berpendidikan yang dipenuhi hanya dengan mencari keseronokan dan hiburan.

Disamping aktiviti akademik, kegiatan ko kurikulum rasmi, banyak persiapan yang perlu dilakukan. Ikuti juga usrah-usrah yang diadakan secara rasmi atau tak rasmi. Tambahkan juga pengetahuan dengan majlis-majlis ilmu, bacaan Al-quran. Tarbiahlah diri anda atau carilah apa-apa program yang mampu membawa anda menjadi orang yang berfikir.


Carilah kawan-kawan yang mampu menaikkan kemahuan anda untuk belajar dan memperbaiki diri. Tarbiah yang mantap dan persiapan yang rapi adalah syarat untuk melayakkan diri anda menjadi pejuang yang hebat di dalam apa jua cabang yang anda bakal ikuti nanti.

Siiru ala barakatillah


Oleh:

Azizan

Aktivis PEMBINA Kelantan


Dilulus terbit oleh,

Media PEMBINA Kelantan

0 ulasan:

Post a Comment