Jom Daftar!

PEMBINA.COM.MY

TRAFIK

PROGRAM KONVOI BERMOTOR “SAVE FOR GAZA” PEMBINA 2013



Kota Bharu, 6 Julai - Persatuan Belia Islam Nasional  (PEMBINA) cawangan Kelantan dengan kerjasama Politeknik Kota Bharu & Aman Palestin Kelantan telah menganjurkan Konvoi Bermotor “SAVE FOR GAZA”.

Perasmian dan pelancaran progam telah dilakukan oleh Pengarah Politeknik Kota Bharu, Tuan Haji Noor Azahan bin Othman. Konvoi ini berlepas dari Politeknik Kota Bharu, seterusnya ke Masjid Hadhari di Jerteh dan berakhir di Lata Tembakah dengan diiringi oleh Unit Traffik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan juga Ibu Pejabat Daerah Jerteh, Terengganu.

Program ini melibatkan 53 buah motosikal yang disertai oleh 106 belia bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan belia bermotor. Hal ini kerana belia yang bermotor seringkali dianggap terlibat dengan masalah “Mat Rempit” sedangkan sebenarnya hanya segelintir sahaja golongan belia yang terlibat dengan masalah sosial seperti ini. Hal ini berkemungkinan berlaku kerana mereka tidak didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Bak kata pepatah, “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga” Dengan ini, PEMBINA mengambil inisiatif bagi menyediakan platform yang sihat untuk para belia beraktivisme di samping mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap belia bermotor. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi rakyat Palestin.


Peserta Konvoi telah melakukan kutipan derma di sekitar bandar Pasir Puteh, Kelantan dan Jerteh, Terengganu. Hasil kutipan yang terkumpul sebanyak RM1443.70 akan disalurkan kepada rakyat palestin melalui Aman Palestin.


Ketua cawangan PEMBINA Kelantan, Mohammad Ridhuan bin Mohd. Ali berkata,  penganjuran konvoi bermotor secara tidak langsung meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan keyakinan diri para belia apabila berhadapan dengan masyarakat umum. Selain itu, ia juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung keselamatan jalan raya.

Disediakan oleh:Wartawan Media PEMBINA Kelantan
05:15 | 1 ulasan | Read More

AGM PEMBINA KELANTAN


BESUT, 11 Jan – Belia mesti bersiap sedia dalam menghadapi pelbagai cabaran yang sangat membimbangkan mutakhir ini, kata Mohammad Ridhuan bin Mohd Ali, Ketua Cawangan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kelantan. Jelas beliau lagi, pemikiran liberal di Malaysia telah menular dengan rancak sekali. Jika belia tidak bersiap sedia memperkuatkan jati diri mereka bermula sekarang, maka mudahlah ianya melemahkan pemikiran belia itu sendiri. Tambah beliau lagi, belia perlu cakna isu semasa lebih-lebih lagi isu yang melibatkan akidah umat Islam di Malaysia. Seperti isu terbaru, isu kalimah Allah yang ingin diguna pakai dalam Bible. Justeru, semua ahli PEMBINA disarankan untuk lebih berani kehadapan dalam memainkan peranan bagi membantu belia di luar sana dalam memahami Islam yang sebenar. Ridhuan berkata demikian dalam ucapan beliau ketika Mesyuarat Agong Tahunan PEMBINA cawangan Negeri Kelantan yang diadakan di Dewan Mesyuarat, Kompleks Rakan Muda, Besut. 

 Wartawan Media ISMA: Asma Hassan 
 Jurugambar: Nor Shahida Abd Gani
08:39 | 0 ulasan | Read More

Jom ke Himpunan Mahasiswa (HIMMAH) 2012


Menjadi mahasisiwa celik dan produktif memerlukan pemikiran yang tajam, tindakan yang bijak dan agenda yang tersusun. Lebih-lebih lagi, mahasiswa merupakan aset utama negara.

Oleh itu, bagi merealisasikannya, PEMBINA Kelantan menjemput semua AHLI PEMBINA Kelantan ke :

Program HIMPUNAN MAHASISWA 2012 (HIMMAH),

14 hingga 16 September 2012,

di Kompleks Rakan Muda Klang.

Yuran penyertaan adalah RM50 seorang

Objektif:

1.       Melahirkan mahasiswa yang beragenda, bijak menganalisa isu serta mempunyai daya saing tinggi menghadapi segala cabaran.
2.       Mengkaji secara kritis sejarah gerakan mahasiswa dan menerapkan kepada setiap peserta mengenai kepentingan untuk membina gerakan mahasiswa yang mampu menyumbang kepada pembinaan Negara.
3.       Membina semangat patriotisme kepada Negara dengan menghayati nilai-nilai murni dan bertindak selari dengan perlembagaan dan undang-undang Negara.
4.       Menyedarkan setiap peserta agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu semasa dan ancaman-ancaman luar.


Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi:

-Fakhruddin (Pengerusi) : 016-440 4160
-Syakira (Ketua Beliawanis) : 019-460 5371
Jumpa anda di sana!


19:52 | 0 ulasan | Read More

Youth Camp Program Inspirasi Bagi Belia

PASIR PUTEH, 9 Mac - " Kem ini berjaya menyedarkan saya untuk membuat perubahan daripada kurang baik kepada lebih baik, Nor Haslinda binti Ismail, peserta Youth Camp.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh wartawan semalam, setelah menyertai selama 2 hari program Youth Camp anjuran Kelab Amru dan Kelab Kamsis Politeknik Kota Bharu (PKB) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional ( PEMBINA ) Cawangan Kelantan pada 8 hingga 10 Mac 2012 lalu bertempat di Kem Damai Chalet, Bukit Kluang, Besut.

Saya rasa gembira kerana program ini dapat merapatkan ukhuwah dikalangan peserta yang hadir dari pelbagai latar belakang kos pengajian, walaupun saya dan mereka berada di dalam satu tempat pengajian", ujar beliau.

Saya juga dapat belajar bagaimana menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan dengan berlandaskan syariat Islam di dalam program ini", tambah beliau lagi.

Beliau mengakhiri temubual ini dengan menyatakan program ini memang bagus untuk disertai oleh semua belia dan beliawanis di luar sana.

Disediakan oleh;
Nor Shahida Abd Gani
Wartawan Media PEMBINA

Lagi gambar Youth Camp...




18:22 | 0 ulasan | Read More

Titik Permulaan Memahami Islam

Pasir Puteh, 18 Jan - Persatuan Belia Islam Nasional ( PEMBINA ) dilihat sebagai titik permulaan dalam memahami Islam dikalangan masyarakat khususnya mahasiswa ujar Sala Norhazura.


Ketua Beliawanis PEMBINA Kelantan itu berkata ketika membuat pembentangan kenali PEMBINA dalam program 3 R, Riang Ria Riadah anjuran Beliawanis PEMBINA Kelantan baru-baru ini.

Katanya lagi, hal ini bertepatan dengan visi PEMBINA itu sendiri untuk menjadi peneraju aktivisme belia Islam melalui pemeliharaan dan pembangunan belia Islam.

" PEMBINA merupakan salah satu wadah untuk sampai ke matlamat utama Islam. Ketika golongan belia sedang tercari-cari halatuju, PEMBINA hadir dalam membantu mereka mengenali Islam yang sebenar." jelasnya.


Disediakan oleh :
Nor Shahida Abd Gani
Wartawan Media PEMBINA

16:28 | 0 ulasan | Read More

Tahniah Untuk Semua Pemuda/i Muslim

Ribuan tahniah diucapkan buat semua pemuda-pemudi muslim/ah yang berjaya melatih jiwa mereka sepanjang ramadhan dengan ketaatan dan ketaqwaan diri kepada Allah.

Semoga pemuda/i seperti inilah yang akan menyambut kemenangan abadi di hari akhirat nanti. Kami dari seluruh warga kerja dan ajk PEMBINA Kelantan mengucapkan selamat hari raya eidul fitril Mubarak kepada semua pemuda/i muslim/ah yang telah pun merasai kemanisan ibadah sepanjang ramadhan al-mubarak.

Taqobbalallahu minna wa minkum

Media PEMBINA Kelantan
22:21 | 0 ulasan | Read More

Kembara Beliawanis


Besut, 29 Jul;
Bertemakan “ Riadah kerana Allah swt, Badan Sihat dan Berkualiti ”, beliawanis PEMBINA Kelantan telah mengadakan program kembara mendaki Bukit Keluang, Besut, Terengganu.

Program kembara ini diadakan bertujuan membina jati diri para peserta melalui aktiviti-aktiviti yang mencabar seperti mendaki bukit. Di samping itu juga, program kembara ini telah melibatkan para beliawanis yang berada di seluruh negeri Kelantan khususnya pelajar-pelajar IPT. Mereka juga dapat berkenalan di antara satu sama lain dan saling bertukar buah fikiran sepanjang program kembara berlangsung.

Program kembara ini diserlahkan lagi dengan pengisian yang di sampaikan oleh Saudari Nordie Hashim yang merupakan Jawatankuasa Biro Promosi dan Garapan PEMBINA cawangan Kelantan

Beliau menyatakan kekuatan belia itu sendiri adalah bergantung kepada sejauh mana mereka bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan Allah swt. Para beliawanis perlu belajar dengan kejadian alam yang indah ini kerana Allah swt tidak mencipta sesuatu itu dengan sia-sia.

Justeru itu beliau menyeru para beliawanis di luar sana, gunalah masa muda ini dengan melakukan sebanyak-banyak kebaikan.

Beliau mengingatkan juga kepada para beliawanis dengan kehadiran bulan yang lebih baik dari seribu bulan iaitu bulan Ramadhan. Beliau mengajak para beliawanis untuk memperbanyakkan amalan di bulan ini serta jauhkan diri dari melakukan perkara maksiat juga melihat atau mendengar perkara yang sia-sia.

Alhamdulillah, program kembara ini telah pun berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang kecederaan. Terima kasih kepada semua peserta dan ahli jawatankuasa yang terlibat di atas kerjasama yang diberikan.

Disediakan oleh:
Noor Aisyah Bt Ismail@ Hassan
Wartawan Media PEMBINA Kelantan

Siti Aisyah Bt Mat Rani
Nurul Sakinah Bt Hassan
Jurufoto Media PEMBINA Kelantan

Berikut adalah beberapa paparan menarik sepanjang program berlangsung.


23:08 | 0 ulasan | Read More

Takziah buat Saudara Malik


Albaqo’u lillah

Seluruh warga PEMBINA Kelantan mengucapkan takziah buat saudara Malik Raduan (gambar), Setiausaha PEMBINA Kelantan atas pemergian ayah beliau kembali ke rahmatullah.

Arwah ayah dikhabarkan meninggal dunia pada pukul 1.12 tengah hari akibat sakit buah pinggang. Jenazah telah dikuburkan di tanah perkuburan Islam Rantau Panjang setelah disolatkan.

Semoga ruhnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Amin.



Media PEMBINA Kelantan.

07:06 | 0 ulasan | Read More

Selangkah ke menara gading


Hari ini sudah pasti ramai di kalangan anak muda lepasan SPM khususnya sedang bertungkus-lumus mengisi borang-borang aplikasi dan mempersiapkan diri mereka untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.


Namun persoalan yang cuba penulis timbulkan di sini untuk kita bersama bincangkan, adakah mereka sudah bersedia mengharungi dunia IPTA yang penuh dengan ranjau cabaran?


Dewasa ini, kita dapat lihat betapa ramai mahasiswa/siswi yang hanyut dan leka dibuai keseronokan berada di IPTA sehingga mengakibatkan mereka leka akan matlamat asal mereka datang ke Institusi Pengajian Tinggi. Tanpa memahami matlamat yang betul dalam menuntut ilmu, maka ia akan menjadi kapal yang berlayar tanpa arah tujuan. Tidak pasti di Pelabuhan mana ia akan berhenti. Sesat di lautan luas berpuluh tahun lamanya.


Sedangkan menuntut ilmu itu, Allah syariatkan besar tujuannya, ia asas membina masyarakat dan asas membina tamadun insan. Tapi tak ramai para mahasiswa/siswi hari ini memahami matlamat itu. Berligar pada memenuhi kecukupan duniawi dan aksesori kehidupan mereka sahaja. Namun, bagi orang yang benar-benar faham tujuan menuntut ilmu, dia ada AGENDA BESAR dalam hidupnya.


Justeru, dalam memahami matlamat sebenar menuntut ilmu ada beberapa aspek yang perlu bakal mahasiswa/siswi ambil perhatian iaitu perlunya persiapan ruhani yang mantap. Orang yang bijak tidak akan membiarkan diri bergelumang dengan pelbagai kelemahan dan kecacatan ruhi sedang dalam masa yang sama mengharapkan kejayaan dalam hidup mereka umpama angan-angan mat jenin yang amat menyedihkan. Ingatlah masa muda hanya sekali.


Alam universiti merupakan tempat yang paling sesuai untuk memperolehi semua sumber kekuatan (ruhiyyah dan jasmani). Tempoh ini sepatutnya dihabiskan dengan program-program yang bermanfaat dan mampu membawa ia mencapai objektif sebenar. Banyak program-program bermanfaat yang disediakan oleh universiti dan badan-badan dakwah yang bergerak di dalam dan luar universiti. NGO-NGO yang ada melalui program tarbiah, dakwah dan kemasyarakatan mereka boleh memberi pengisian kepada para belia. Cuma kena pastikan halatuju dan kefahaman yang mereka bawa dan sejauh mana ia mampu mempertingkatkan potensi anda para pelajar khususnya.

Sayangnya rata-rata pelajar hari ini ramai yang tidak berminat. Mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti berbentuk hiburan dan keseronokan. Kesannya bukan sekadar tidak meningkatkan potensi ruhi, skill, keterampilan diri dan sebagainya bahkan menjadi penyebab rendahnya prestasi mereka dalam bidang akademik.


Apabila golongan yang dianggap memiliki IQ berkualiti ini tidak mengisi masa mereka di Universiti dengan sebaiknya dan gagal membuat persiapan, negara akan turut menerima kesannya. Mereka merupakan barisan hadapan kekuatan modal insan tapi tanpa persiapan yang rapi pasti mereka gagal menjadi pemimpin negara yang mahir. Orang yang tiada apa-apa tidak mampu memberikan apa-apa. Akhirnya kegagalan dalam diri individu turut mengagalkan institusi keluarga, masyarakat dan negara.


Wahai para pelajar ingatlah bahawa kalian bukan hidup hanya untuk diri sendiri. Kalian adalah anak untuk ibubapa anda. Kalian bakal suami atau isteri untuk pasangan anda. Kalian bakal menjadi bapa atau ibu, guru dan murabbi untuk anak-anak. Kalian akan menjadi rakyat atau pemimpin untuk membangun negara. Kalian juga salah satu tenaga berharga yang dinanti-nantikan oleh ummah untuk memimpin mereka mengembalikan kegemilangan silam yang pernah diukir oleh generasi awal Islam.


Berfikirlah sebelum bertindak dan jangan habiskan masa muda dengan perkara sia-sia. Berfikirlah dengan mentaliti orang hebat. Hebatnya Bilal bin Rabah, Anas bin Malik dan beberapa sahabat lain yang pernah menjadi hamba abdi kerana ia berfikir menggunakan mentaliti orang hebat bukan mentaliti hamba. Mereka berfikir menggunakan mentaliti wahyu dan sunah nabi mereka. Pelik kalau anda seorang mahasiswa tapi berfikir seperti mentaliti orang tak berpendidikan yang dipenuhi hanya dengan mencari keseronokan dan hiburan.

Disamping aktiviti akademik, kegiatan ko kurikulum rasmi, banyak persiapan yang perlu dilakukan. Ikuti juga usrah-usrah yang diadakan secara rasmi atau tak rasmi. Tambahkan juga pengetahuan dengan majlis-majlis ilmu, bacaan Al-quran. Tarbiahlah diri anda atau carilah apa-apa program yang mampu membawa anda menjadi orang yang berfikir.


Carilah kawan-kawan yang mampu menaikkan kemahuan anda untuk belajar dan memperbaiki diri. Tarbiah yang mantap dan persiapan yang rapi adalah syarat untuk melayakkan diri anda menjadi pejuang yang hebat di dalam apa jua cabang yang anda bakal ikuti nanti.

Siiru ala barakatillah


Oleh:

Azizan

Aktivis PEMBINA Kelantan


Dilulus terbit oleh,

Media PEMBINA Kelantan

04:30 | 0 ulasan | Read More

PEMBINA Kelantan anjur Program Derma Darah


Kota Bharu, 9 April:- Bertempat di masjid Telipot, PEMBINA Kelantan, masjid Telipot dengan kerjasama pelajar ijazah pemasaran UiTM KB dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian telah berjaya menganjurkan program derma darah untuk menampung kekurangan darah di HUSM Kubang Kerian dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Program ini telah mendapat sokongan padu dari ahli-ahli PEMBINA, masyarakat setempat, terdiri dari para belia dan juga dewasa. Seramai 96 orang penyumbang telah menyumbang darah mereka untuk mengisi tabung darah di HUSM.

Menurut setiausaha PEMBINA Kelantan saudara Malek Raduan, program seperti ini telah dilaksanakan pada tahun sebelum ini, setakat ini tidak ada lagi mana-mana NGO-NGO, badan-badan Islam yang menyumbang secara khusus kepada tabung darah di HUSM, yang ada hanya panyumbang-penyumbang tetap dari kalangan badan-badan bukan Islam seperti, Budha, Sikh, Hindu, Siam dan gereja Fatma.

Dengan ini PEMBINA telah menyahut seruan mulia ini, untuk membantu umat Islam yang memerlukan darah-darah orang Islam.

Semoga amal mulia ini mendapat tempat di sisi Allah dan memberi berkat hidup buat semua penyumbang-penyumbang yang telah mengorbankan masa, tenaga dan darah mereka untuk kepentingan umat Islam.

Media PEMBINA Kelantan

Gambar-gambar sekitar program

Darah muslimin

Ustaz Ahmad (imam masjid Telipot) dan anak sulungnya Amir

Wawancara bersama wartawan sinar harian

Penderma-penderma darah





04:21 | 0 ulasan | Read More